Kajian tindakan
telah menjadi satu kaedah penyelidikan yang semakin popular terutamanya sebagai
wadah pembangunan profesionalisme dalam bidang pendidikan. Kini, kajian
tindakan telah diguanakan secara meluas oleh semua profesion. Tarikan utama
penyelidikan melalui kaedah kajian tindakan ialah kaedah ini boleh dilakukan
oleh semua orang, termasuklah penyelidik yang berperanan sebagai guru,
pengetua, pengurus, pentadbiran dan juga pelajar (McNiff, 2010). Sebelum kajian tindakan dilakukan, pengamal
perlu mendapatkan kefahaman tentang asas teori dalam kajian tindakan. Hal ini demikian kerana, pengetahuan yang
diperoleh perlu melalui penjelasan daripada teori-teori yang berkaitan.
Kepentingan teori kajian tindakan adalah untuk memberikan penjelasan dan
panduan sebelum pengamal melakukan kajian tindakan.
ASAS TEORI KAJIAN TINDAKAN
Kajian tindakan
mempunyai asas andaian dan teoretikal yang menjadi asas kepada prosedur dan
pelaksanaannya. Dalam perkembangan kajian tindakan terdapat beberapa pendekatan
yang dipelopori oleh kumpulan-kumpulan tertentu bergantung kepada asas fahaman
yang dipegang. Ada yang melihatnya dari sudut praktikal, dari sudut sosial,
dari sudut penilaian dan dari sudut kepimpinan organisasi. Kepelbagaian teori
inilah yang menjadikan kajian tindakan mempunyai ciri-ciri yang tertentu yang
membezakannya dengan penyelidikan konvensional yang lain. Menurut Mills (2003)
dalam Othman Lebar (2011:43), secara umumnya dua terdapat dua teori utama
kajian tindakan iaitu Kajian Tindakan Kritikal (Critical Action Research) dan Kajian Tindakan Praktikal (Practical
Action Research). Reason dan Bradbury (2008) pula telah memperkenalkan teori
Kajian Tindakan Partisipatori yang juga dikenali sebagai penyelidikan tindakan
orang pertama, orang kedua dan penyelidikan tindakan orang ketiga.
Kajian Tindakan Kritikal
Teori ini diasaskan
oleh John Elliott, Stephen Kemmis, Clem Adelman dan ramai lagi. Mengikut mereka
tujuan kajian tindakan kritikal adalah lebih kepada
keberkesanan dan kecekapan amalan pendidikan atau lebih bertumpu pada
produk. Teori ini dimulakan oleh pakar dari luar sebagai fasilitator dan
pengamal-pengamal banyak bergantung pada fasilitator tersebut. Kumpulan yang
memegang teori ini ialah golongan yang percaya bahawa cara untuk melakukan
penyelidikan ialah melalui penyelidik luar yang membuat pemerhatian, kemudian
menterjemahkan dalam bentuk laporan kepada apa yang pengamal lain lakukan.
Teori ini juga lebih bersifat tafsiran, iaitu melihat keadaan sekeliling dan
melakukan kajian yang dianggap mempunyai masalah berbangkit. Asas teori ini
menekankan peranan penyelidik lebih bersifat kritikal dalam proses penyelidikan
bagi mencari jalan yang paling sesuai untuk peningkatan amalan dalam
menyelesaikan masalah yang berbangkit. Penyelidik lebih bertindak sebagai agen
perubahan yang kritikal. Mereka mengubah persekitaran dan dalam proses tersebut
mereka berubah. Berdasarkan asas-asas teori ini, kajian tindakan kritikal
dilakukan oleh penyelidik ‘orang luar’ dan dapatannya digunakan oleh penyelidik
lain.
Dalam konteks kajian tindakan
pendidikan, penggunaan teori ini dalam melaksanakan kajian tindakan kurang
menarik perhatian golongan penyelidik pendidikan khususnya guru. Kajian
tindakan menggunakan teori ini dianggap tidak relevan dengan amalan harian guru
kerana kurang dari aspek praktikalnya. Selain itu, dapatan daripada penggunaan
teori ini tidak dapat diakses dengan baik dan sukar difahami oleh penyelidik
(guru) yang merujuk. Stringer (1993), menyarankan nilai-nilai yang perlu ada
kepada semua penyelidik yang memilih kajian tindakan kritikal sebagai teori
panduan untuk melaksanakan kajian tindakan. Oleh hal yang demikian, semua
penyelidik khususnya penyelidik pendidikan perlu bersikap responsif dan
mengamalkan perkara-perkara berikut:
1. Demokratik -
membolehkan penyertaan dan penglibatan individu.
2. Kesamarataan -
dengan menghormati dan menghargai nilai kesamarataan
3. Membebaskan -
daripada tekanan dan keadaan yang melemahkan
4. Meningkatkan –
mengupayakan potensi sebenar seseorang
Kajian Tindakan Praktikal
Teori kajian
tindakan jenis ini diasaskan oleh Jack Whitehead. Golongan yang mengikut teori
ini sebagai asas pelaksanaan kajian tindakan ialah golongan yang percaya bahawa
pengamal yang mampu menawarkan penjelasan mereka sendiri untuk apa yang mereka
lakukan. Kajian tindakan praktikal lebih melibatkan fasilitator dan
pengamal peyelidik secara bersama dan menggalakkan penglibatan dan refleksi
kendiri pengamal-pengamal. Dapatan serta pengetahuan yang diperoleh melalui
kajian tindakan bukan sahaja ada kepentingan teoretikal, tetapi juga membawa kepada
peningkatan yang praktikal semasa dan selepas proses penyelidikan. Dalam kajian
tindakan pendidikan, penyelidik terdiri daripada guru atau pentadbir pendidikan
sendiri mengamalkan proses pendidikan. Dalam klasifikasi kajian tindakan
tersebut, kajian tindakan amalan melibatkan peninjauan tentang amalan guru
dalam konteks bilik darjah di mana guru itu mengajar. Ini boleh dijalankan sama
ada melalui dirinya sendiri atau pun melibatkan rakan sejawat beliau yang
mengajar mata pelajaran yang sama (team-based inquiry) dengan memberi
fokus terhadap amalan guru (teacher development) dan pembelajaran pelajar (student learning).
Guru yang menjalankan kajian tindakan amalan ini mesti melaksanakan satu pelan
tindakan bagi mencapai matlamat beliau sebagai seorang guru penyelidik (teacher
as researcher).
Kajian Tindakan Partisipatori (Penyertaan)
Kajian tindakan
partisipatori melibatkan semua partisipan secara sama rata iaitu tidak wujud
jurang antara penyelidik dengan pengamal. Teori ini melibatkan fasilitator dan
pengamal penyelidik bersama secara kolaboratif di mana tanggungjawab dikongsi
sama rata. Pengamal bebas daripada mengikut cara tradisi dan membuat keputusan
secara demokratik. Penyelidik terlibat secara langsung bersama dengan subjek
mengkaji masalah praktikal dan meneliti penyelesaian serta meningkatkan amalan.
Antara matlamat penyelidik adalah untuk mengurangkan jarak antara masalah
sebenar yang dikenal pasti oleh pengamal dan teori yang digunakan untuk
menjelaskan dan menyelesaikan masalah. Penyelidik juga membantu dalam
perbincangan reflektif dengan pengamal untuk mengenal pasti masalah dan juga
andaian.
Berdasarkan ketiga-tiga teori yang
dikemukakan ini, terdapat perbezaan yang ketara dalam menentukan pelaksanaan
kajian tindakan. Walaupun apapun jenis atau senario ataupun pendekatan kajian
tindakan yang dikemukakan, namun demikian tujuan utama seharusnya adalah untuk
menambahbaikkan amalan secara sistematik.
Terima kasih atas perkongsian.
BalasPadam