Khamis, 5 Mei 2016

TUJUAN KAJIAN TINDAKAN

Dalam membincangkan tujuan kajian tindakan, terdapat beberapa tema yang dapat dijelaskan seperti berikut:

1.      Perkembangan Kurikulum Berasaskan sekolah
Dalam konteks perancangan dan pembentukan kurikulum di sekolah, jelas menunjukkan bahawa deskripsi kurikulum telah disediakan oleh pihak agensi pusat. Namun begitu, sekolah dan guru sentiasa mengubah suai kurikulum tersebut bagi memastikan ia sesuai dengan konteks dan situasi pelajar, guru dan sekolah. Proses pengubahsuaian memerlukan guru mentafsirkan kurikulum mengikut keperluan dan kebolehan pelajar. Selain itu, pentaksiran ini memerlukan guru meneliti amalan pedagogi dan pentaksiran mereka serta melakukan eksperimen-eksperimen yang sesuai bagi meningkatkan keberkesanan. Sesuai kurikulum itu lebih bermakna dan berfungsi jika ia mampu ditafsir dan dilaksanakan oleh guru sesuai dengan konteks, keperluan dan kebolehan pelajar-pelajar mereka.

2.      Sebagai Strategi Perkembangan Profesionalisme
Sebagai seorang profesional, guru perlu meningkatkan amalan mereka secara berterusan. Guru perlu berterusan belajar bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka sesuai dengan perkembangan semasa dalam bidang pendidikan dan teknologi. Banyak pendekatan yang diadakan untuk meningkatkan perkembangan profesionalisme guru. Di antaranya adalah melalui program-program latihan dalam perkhidmatan yang disediakan. Namun begitu, diperingkat sekolah dan di peringkat individu guru, aktiviti-aktiviti penyelidikan ada dijalankan bagi tujuan untuk mengenal pasti masalah pembelajaran dan mengambil tindakan yang sesuai untuk bagi guru-guru terlibat dalam meneliti amalan mereka melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan.

3.      Sebagai Alat Penilaian Kendiri dan Institusi
Kajian tindakan membolehkan guru meneliti dan menilai amalan mereka melalui penilaian kendiri dan penilaian rakan sekerja. Berasaskan maklumat dan data data yang dikumpul secara sistematik dan saintifik, keputusan yang lebih termaklum dapat dibuat tentang kelemahan dan kekuatan amalan serta dapat merangka tindakan yang lebih sesuai untuk mengatasinya. Dengan itu, kajian tindakan sebagai alat penilaian adalah lebih bermakna kepada guru dalam menilai keberkesanan perancangan dan tindakan mereka. Hasil kajian ini boleh dijadikan asas oleh pihak sekolah dalam menilai prestasi guru dan juga institusi.


            Berdasarkan perbincangan tentang tujuan pelaksanaan kajian tindakan dalam kalangan guru-guru sekolah, jelas bahawa peranan guru sebagai agen penyelidikan sangat penting. Oleh sebab itu, para guru terutamanya guru Bahasa Melayu yang berkelayakan Sarjana dan Doktor Falsafah sama ada sedang bertugas di sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri ataupun di Kementerian Pelajaran digalakkan untuk membuat penyelidikan. Golongan ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan amalan pengajaran, membuat refleksi dan membuat tindakan penambahbaikan serta pada masa yang sama dapat meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan